KES KEBAKARAN DI PUSAT TAHFIZ DARUL QURAN ITTIFAQIYAH, KL

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh hari ini mengesahkan kebakaran pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat, di sini, kelmarin merupakan perbuatan khianat.

Dalam sidang akhbar sebentar tadi, Amar Singh berkata, tujuh remaja berusia antara 11 tahun hingga 18 tahun ditahan polis pada pukul enam petang semalam sehingga pukul 2.30 pagi tadi.

Kesemua mereka merupakan penduduk yang tinggal di sekitar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Amar Singh berkata, enam daripada suspek positif dadah. Kesemua suspek telah dibawa ke mahkamah hari ini dan akan direman sehingga 22 September ini.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 sebab khianat menggunakan api.

“Motif mereka adalah untuk membakar, sebab usia mereka dan kematangan mereka tidak tahu daripada perbuatan mereka akan berlakunya kematian.

“Suspek dipercayai mengangkat dua tong gas dari tingkat bawah ke tingkat tiga bangunan tahfiz tersebut sebelum memulakan kebakaran menggunakan sejenis bahan pembakar,” katanya

Jelas Amar Singh, punca remaja terbabit melakukan perbuatan khianat itu adalah disebabkan perbuatan ejek mengejek antara suspek-suspek dan pelajar pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Amar Singh berkata, dengan tangkapan tersebut polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Menurut beliau dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu merusuh dan mencuri kenderaan.

Amar Singh turut memberi amaran kepada orang awam agar tidak menularkan mesej yang tidak benar kerana boleh memberi kesan siasatan dan proses mahkamah. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 203 Kanun Kesiksaan

Dalam tragedi awal Khamis lalu 21 pelajar serta dua guru pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban apabila terperangkap dalam kebakaran. Kesemua mereka selamat disemadikan semalam.

Insiden yang mengemparkan seluruh negara itu ditangisi oleh semua lapisan masyarakat.- UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my

 

Video/media berkenaan kes di atas:

Sumber: TV3

 

Leave a Reply