Kepentingan Sarapan Pagi

Sarapan pagi adalah suatu perkara yang sepatutnya dijadikan kelaziman pada setiap hari. Ia merupakan satu kemestian yang tidak boleh dipandang remeh. Pengambilan sarapan pagi akan membekalkan tenaga agar dapat menjalankan segala aktiviti sepanjang hari dengan cergas dan produktif.

sarapan pagi

Barangkali ramai di antara kita yang tidak menyedari akan kepentingan sarapan pagi kepada kesihatan tubuh badan. Memulakan hari dengan mengalaskan perut adalah penting bagi membantu seseorang itu cergas, berfikir dengan cerdas, aktif dan menjadi penentu kepada suasana sepanjang hari tersebut. Makanan sebagai pemula itu akan menjadi penjana tenaga untuk kegiatan seseorang sepanjang hari.

Apabila kita bangun daripada tidur, aras glukosa dalam darah agak rendah. Jadi, dengan pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang sewaktu sarapan pagi akan membekalkan tenaga yang mencukupi untuk memulakan hari dengan cergas.

Oleh itu, saranan kerajaan agar pihak sekolah mewujudkan waktu rehat yang fleksibel bagi murid-murid yang menghadapi masalah tidak sempat untuk bersarapan harus disusuli dengan tindakan yang bijak. Ia dilihat sebagai satu langkah yang tepat jika diberi perhatian oleh pihak sekolah kerana membolehkan pelajar dapat makan dan mengisi perut untuk meneruskan sesi pembelajaran seterusnya. Melihat senario pada hari ini, kekangan waktu dan ketidaksempatan para ibu bapa untuk menguruskan sarapan pagi anak-anak ke sekolah memerlukan waktu rehat persekolahan yang lebih awal. Ini dapat memudahkan lagi para pelajar mengambil sarapan pagi sebagai pemula pada hari tersebut dan meningkatkan lagi keupayaan fizikal dan mental untuk pembelajaran.

Ini kerana, badan kita memerlukan glukosa dalam darah untuk menjana tenaga. Glukosa pula dapat diperolehi daripada makanan yang kita makan. Jika bekalan glukosa ke otak mencukupi, ia membuatkan seseorang cerdas, cergas dan aktif. Tetapi jika glukosa tidak mencukupi dalam badan, maka seseorang akan menjadi tidak aktif, otak mudah letih, malas dan tidak berupaya menjalankan aktiviti seharian dengan jayanya.

tidur dalam kelas

Jadi tidak hairanlah jika kanak-kanak sekolah yang tidak sempat bersarapan akan menjadi kurang aktif berbanding yang bersarapan. Situasi inilah yang berlaku kepada kanak-kanak di Malaysia pada hari ini di mana satu daripada tiga kanak-kanak sekolah rendah pergi ke sekolah dengan perut kosong. Disebabkan kesibukan dan kesuntukan masa ibu bapa pada sebelah pagi akhirnya anak-anak menjadi mangsa tidak sempat untuk bersarapan. Tidak mustahil, ia juga akan menjejaskan mutu pembelajaran mereka di sekolah. Oleh itu, para ibu bapa, cuba tanya diri anda, adakah anda bersarapan pagi setiap hari dan adakah anda telah mengabaikan anak-anak untuk bersarapan pagi sebelum memulakan pelajaran di sekolah? Ayuh, mulakan perubahan tabiat untuk bersarapan pada waktu persekolahan baru bermula ini agar ia menjadi satu kebiasaan untuk hari-hari yang seterusnya.

Sumber

Leave a Reply